Di dalam seronok menyambut tahun baru dan sibuk membuat azam masing-masing untuk tahun 2010 yang mulia ini, Malaysia telah dikejutkan dengan pemergian tokoh yang dikenali ramai iaitu bekas Menteri penerangan Tan Sri Muhammad Rahmat. Beliau dikatakan meninggal dunia pada umur 71 tahun akibat penyakit yang dialaminya iaitu diabetes dan kanser ialah juga bekas orang penting dalam UMNO sekitar tahun 1988 sehingga tahun 2004.
Tanggal 9 Januari 2010, kita sekali lagi dikejutkan dengan pemergian seorang lagi tokoh wanita iaitu wanita pertama yang dilantik menganggotai jemaah menteri Malaysia, Tun Dr Fatimah Hashim, 85. Beliau yang telah memulakan penglibatannya di dalam bidang politik seawal umur 21 tahun meninggal dunia akibat sakit tua, seorang yang amat luas pengetahuannya di dalam bidang politik. Beliau telah dikurniai darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (S.S.M) oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang membawa gelaran ‘Tun’ pada tahun 2003.
Selepas pemergian beliau, diikuti pula dengan pemergian bekas Agong ke-6 Malaysia iaitu Allahyarham Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, 77 bekas sultan negeri Johor pada tanggal 22 Januari. Kemangkatan Allahyarham Tuanku Sultan Iskandar yang telah memerintah Johor selama berpuluh tahun juga adalah disebabkan sakit tua yang dialaminya.
Sementalah mangkatnya Allahyarham sultan Johor, Tun Mohd Ghazali, 88 atau juga dikenali sebagai King Ghaz meninggal dunia pada tanggal 24 Januari. Beliau yang pernah berkhidmat dengan empat Perdana Menteri dengan menyandang pelbagai jawatan menteri meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya Persiaran Wangsa Bestari, Subang Jaya. Allahyarham seorang yang amat tegas dan dedikasi dalam menjalankan tugasnya amat disayangi oleh ramai pihak dan pemergiannya amat menyedihkan oleh ramai orang termasuk Perdana Menteri kita sekarang, Datuk Seri Najib Razak.
Kesemua tokoh di atas yang telah meninggalkan kita semua selamanya tiada gantinya dan dengan pemergian mereka semua, Malaysia telah kehilangan tokoh-tokoh yang berwibawa dan berkepimpinan. Tak perlu ditangisi lagi, kesemua mereka telahpun menghadap Yang Maha Esa di atas sana. Apa yang kita rakyat Malaysia mampu lakukan adalah berdoa ke atas ketenangan mereka di alam lain dan perlulah kita mengambil semangat mereka dalam membangun dan memperjuangkaa Malaysia seperti yang telah mereka semua lakukan.
Setiap tokoh-tokoh yang telah meninggalkan kita semua sudah pastinya meninggalkan kita seribu satu kenangan dan jasa yang membuatkan kita mengingati dan menghargai mereka sepanjang hidup kita. Bukan calang-calang orang yang boleh melakukan seperti mereka. Mereka bukan bermula dari atas, mereka berjuang dari bawah dan mengikuti pelbagai jenis seminar, ceramah, aktiviti-aktiviti, pembelajaran sehingga ke peringkat tinggi dan pelbagai lagi. Mereka bukanlah tokoh yang tiada ilmu di dada, permulaan mereka bukan senang seperti yang dijangka. Pelbagai cabaran dan dugaan serta tohmahan telah mereka lalui namun, itulah yang menjadikan mereka sehingga ke hari ini. Pemergian keempat-empat tokoh ini akan dikenang sampai bila-bila oleh generasi sekarang mahupun akan datang, insyaALLAH.
Tiada siapa yang gembira atas pemergian mereka, tiada siapa yang bersorak atas pemergian pemimpin-pemimpin terulung di atas, tiada siapa yang tersenyum lebar atas pemergian ke empat-empat beliau. Adapun, adalah segelintir manusia yang buta dan jahil dalam menilai sesuatu yang baik dan buruk. Namun hakikatnya, yang hidup perlu teruskan hidup. Jadikanlah mereka sebagai salah satu hero kita dalam mengharung hidup dan membangunkan serta menaikkan nama negara kita yang amat kita sayangi ini.
No comments:
Post a Comment