Saturday, February 20, 2010

Kahwin Lari

Ikutkan kata hati mati, ikutkan rasa, badan binasa. Peribahasa ini ada kaitannya dengan tajuk di atas di mana sudah ramai remaja kini melakukan perkara yang tidak sepatutnya iaitu kahwin lari. Kadang-kadang terlintas juga di fikiran, tidak ada mak ayah ke mereka sehingga sanggup mengenepikan hak orang tua mereka sebagai penjaga mereka selama ini.

Dek kerana terlalu ikutkan kata hati sangat, kedua orang tua sanggup di abaikan dan sanggup lari ke seberang untuk bernikah.

Ya, memang bernikah di seberang Thailand amat murah. Walaubagaimanapun, tidak guna juga tanpa restu ibu dan ayah. Bukankah tanpa restu mereka, tidak bahagialah kehidupan mereka sebagai suami isteri kelak. Entahlah, mungkin mereka terlalu muda untuk memikirkan itu semua.

Cuti seminggu memang memberi saya pelbagai input baru. Selain daripada kes sukakan ibu sendiri, kes seperti kahwin lari ini juga amat hangat diperkatakan sekarang lebih-lebih lagi ia terjadi kepada orang yang terdekat dengan saya.

Apa tidak pentingkah lagi orang tuanya pada dirinya? Sudah butakah hatinya sehingga sanggup berbohong kepada orang tuanya tentang apa yang telah berlaku? Remaja zaman sekarang, pantang dibelai manja, ucapkan kata-kata manis sedikit sudah cukup untuk melenturkan rasa hormatnya pada ibu dan ayahnya sendiri dan ikutkan kata-kata si kekasih. Nak katakan tiada agama, si dia bertudung. Bahkan, ibu ayahnya sangat tegas dalam bab-bab agama ini tetapi si buah hati dan ayah kepada si buah hatinya telah menjanjikan hidup yang cukup indah di masa hadapan (kononnya) buat dirinya.
Ah! ayah mertuanya pun 2x5. Dia adalah seorang agen yang sudah bertahun-tahun melakukan perkara seperti ini dimana merealisasikan impian remaja-remaja mahupun orang tua untuk bernikah di seberang. Paling mengejutkaan, dia adalah seorang kakitangan yang bekerja di organisasi Tabung Haji dan seorang pak aji. Dialah yang menghasut anak lelakinya dan kekasih anaknya untuk bernikah di seberang hanya kerana kos di sana murah. Patut ke? Sekarang, pihak polis sedang melakukan siasatan terhadap beliau setelah ibu dan ayah menantunya sudah membuat aduan kepada seorang ustazah dan sudah pastinya dia kini sedang berada di dalam ketakutan kerana rahsianya telahpun terbongkar ke pengetahuan besannya.

Berbalik kepada si anak itu tadi, dalam diam dia merahsiakan perkara yang sangat penting daripada pengetahuaan ibu dan ayahnya sendiri. Sudahlah kahwin lari, sehinggakan mengandung pun tidak diberitahu kepada orang tua beliau. Yang paling pelik sekali, walaupun si anak sudak mengandung selama 5 bulan pun masih tidak di sedari oleh si ibu dan ayah. Orang kata, ayah mertuanya telah memberikan ‘air mineral’ kepada si menantu bagi membutakan mata ibu dan ayah menantu dari mengetahui kewujudan bayi di dalam rahim anaknya. Mungkin juga…

Sesudah lahirnya bayi tersebut, barulah ayah mertua dan ibu mertuanya pergi ke rumah ibu dan ayahnya memberitahu perkara yang sebenar. bayangkan perasaan seorang ibu dan bapa apabila menegtahui anaknya sudah bernikah malah sudahpun melahirkan anak. Nak marah pun tak guna, benda sudah pun jadi. Nama pun anak, adalha sekali mereka menjenguk si anak dan cucu di rumah besannya namun sehingga sekrang mereka masih tidak percaya bahawa si anak sanggup melakukan perkara sebegitu rupa.

Kini, sudah 2 bulan si anak melahirkan bayinya tetapi, baru sekali itulah mereka mejenguk cucunya. Hati bukan boleh dipaksa walaupun mereka masih boleh menerima anaknya kembali tetapi arang yang si anak contengkan ke muka amat mengecilkan hati mereka. Dia sebagai anak yang sulong tidak sepatutnya membuat perkara ini lebih-lebih lagi dia mempunyai adik-adik dan sapatutnya dia menunjukkan tauladan yang baik kepada adik-adiknya bukan yang buruk.

Sadisnya, beliau masih terlalu muda berumur 20 tahun dan masih lagi belajar, masih lagi ditanggung oleh ayahnya. Walaupun sekarang ibu dan ayahnya sudah mengetahui benda yang sebenar namun, wang saraan masih diberi oleh ayahnya kerana kasihankan anaknya yang tidak mempunyai banyak wang. Si suami hanya bekerja makan gaji di maxis, apalah sangat gajinya untuk menyara anak orang dan bayi yang memerlukan banyak belanja itu. Tambahan pula, hanya mereka berdua sahaja tinggal di rumah sewa. Tidak lagi duduk di rumah ibu dan ayah si lelaki. Mereka tidak boleh hidup seperti pasangan lain yang mewah kerana masalah ekonomi. Apalah sahaja hanya satu motosikal mereka bergerak kesana sini lebih-lebih lagi sudah mempunyai anak. Kereta pun kadang-kadang mereka pinjam daripada ibu dan ayah si isteri untuk memudahkan pergerakan mereka.

Inikah yang dikatakan bahagia? Apalah salahnya tunggu beberapa tahun lagi untuk berkahwin apabila masing-masing mempunyai ekonomi yang kukuh untuk melayari bahtera sebagai suami isteri bersama. Mungkin sudah terlanjur barangkali. Agaknya.

Apa yang paling saya kasihankan di sini ialah ibu dan ayahnya. Mendengar cerita ini dari mulut orang tuanya sendiri sambil melinangkan air mata sudah cukup membuatkan hati saya sangat sebak dan tumpah simpati. Anak yang selama ini disanjung-sanjung akhirnya telah menconteng arang di muka mereka sendiri. Hendak tidak hendak, si tua itu jugalah yang terpaksa berhadapan dengan semua orang bagi memberitahu bahawa anaknya sudah bernikah.

Jadikanlah ini sebagai satu pengajaran bagi kita semua. Janganlah anggap perkahwinan itu sesuatu yang mudah dan seronok. Ia akan menjadi suatu beban dan berat jika kita menipu kepada orang tua kita dan tidak dapat memberikan kesempurnaan terhadap anak kita kelak. Kasihanilah orang tua kita, mereka punya hak dalam kehidupan kita.


No comments:

Post a Comment