Nama Malaysia sudah semestinya terkenal di seluruh pelusuk dunia dengan keunikannya yang tersendiri dan masih penuh dengan nilai-nilai moralnya yang disegani oleh banyak negara. Keunikan Malaysia dipandang dari aspek yang pelbagai termasuk budaya, makanan, pakaian, kepercayaan, bahasa dan lain-lain lagi.
Sudah ramai yang tahu bahawa Malaysia adalah negara yang mempunyai pelbagai bangsa yang terdiri daripada bangsa melayu, cina, india, portugis, baba nyonya, bidayuh, iban, kadazan dan banyak lagi. Banyaknya bangsa dan kaum di bumi Malaysia ini, menjadikan negara ini sebagai salah satu negara yang popular untuk dilawati oleh negara-negara luar. Mereka boleh mempelajari pelbagai perkara daripada setiap kaum dan bangsa di Malaysia ini yang tidak terdapat di sesetengah negara .
Bukan sahaja mempunyai pelbagai bangsa dan kaum, malah, Malaysia juga terkenal dengan pelbagai perayaan seperti contohnya hari raya aidilfitri, hari raya haji, tahun baru cina, thaipusam, hari gawai dan macam-macam lagi. Hari-hari perayaan seperti ini bukan sahaja disambut oleh masyarakat yang berkenaan itu sahaja tetapi boleh juga disambut oleh masyarakat lain. Sebagai contoh, ada juga orang cina yang melawat ke rumah orang melayu semasa perayaan hari raya aidilfitri dan begitu juga dengan sebaliknya.
Selain daripada itu, dari segi kepelbagaian pemakaian juga amat unik dan menarik minat para pengunjung untuk mengetahui dan memakainya. Contoh pakaian yang terkenal adalah seperti pakaian tradisional baju kurung, baju melayu, cheongsam, samfu, sari dan lain-lain lagi. Setiap pakaian mempunyai keunikan masing-masing dan ramai juga bangsa lain yang memakai pakaian daripada bangsa lain untuk dijadikan pakaian seharian atau ke majlis-majlis tertentu. Lewat kebelakangan ini, pakaian-pakaian kaum di Malaysia sudah mencapai ke tahap yang lebih tinggi iaitu sudah sampai sehingga ke luar negara. Ini adalah perkara yang amat membanggakan rakyat Malaysia kerana bukan senang produk dari dalam negara untuk sampai ke luar negara.
Selain daripada pemakaian rakyat di Malaysia, makanan juga menjadi salah satu daripada perkara utama keunikan Malaysia. Dengan adanya rendang, ketupat, yong tau foo, tau foo fa, tosei, nasi lemak, teh tarik, satay, poori dan banyak lagi menjadikan Malaysia kaya dengan makanan-makanan yang lazat-lazat belaka. Makanan-makanan seperti ini bukan sahaja diminati oleh rakyat tempatan sendiri malah, diminati oleh orang luar yang datang berkunjung ke negara Malaysia. Ramai pengunjung yang mengaku dan membuat kenyataan bahawa makanan-makanan di Malaysia sangat sedap sehingga menjilat jari dan ingin mencubanya lagi.
Banyak lagi perkara tentang uniknya Malaysia seperti dari segi bahasa. Tidak dinafikan bahawa Malaysia mempunyai pelbagai bahasa atau dialek dari setiap daerah. Sebagai contoh, bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa mandarin, tamil, dialek Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Perak, Kedah dan lain-lain lagi. Bukan sahaja kita boleh mempelajari satu bahasa tetapi banyak bahasa dan dialek yang boleh dipelajari di sekolah-sekolah dan terus daripada bangsa atau kaum itu sendiri.
Seterusnya adalah tempat-tempat yang berada di sekitar Malaysia yang sudah semestinya menjaminkan kepuasan yang luar biasa untuk dilawati berbanding tempat-tempat di luar nagra. Contohnya ialah Pulau Langkawi, Genting Highlands, A Famosa, Gua Niah, Kota Kinabalu, Pulau Tioman dan banyak lagi. Tempat-tempat pelancongan di Malaysia bukan sahaja menarik namun indah dan boleh memukau sesiapa sahaja yang berkunjung ke sana. Bak kata orang, ‘datang sekali mahu pergi lagi.’ Di Malaysia juga terdapat banyak tempat yang bersejarah malah sudahpun diiktirafkan sebagai Khazanah Warisan Dunia iaitu negeri Melaka dan Pulau Pinang. Tidak rugi rasanya jika sesiapa sahaja yang datang berkunjung ke tempat-tempat yang menarik di Malaysia kerana keindahan tempat-tempat ini tiada tolok bandingnya jika dibandingkan dengan bangunan-bangunan besi yang menghiasi negara-negara barat. Keaslian bumi masih terserlah di bumi Malaysia yang makmur ini.
Banyak lagi yang boleh dikaitkan dengan keunikan di Malaysia kerana Malaysia adalah negara yang banyak informasinya dan keasliannya yang tersendiri. Jadi, sebagai rakyat Malaysia, marilah kita sama-sama berbangga serta bersyukur di atas apa yang telah dikurniakan kepada kita iaitu negara Malaysia.
No comments:
Post a Comment